Gabenor miskin yang kaya jiwa.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
*****
Sa'id bin 'Amir al-Jumahi dilantik sebagai gabenor di Hims, Syria. Selepas beberapa tempoh beliau memerintah, sebuah gelegasi dari Hims datang mengadap Khalifah Umar al-Khattab di Madinah.
Semasa pertemuan tersebut, Khalifah Umar meminta senarai fakir miskin Hims untuk diberikan bantuan. Dalam senarai itu tercatat nama Sa'id bin 'Amir al-Jumahi.
Beliau bertanya kepada delegasi tersebut: "Siapakah Sa'id bin 'Amir yang kamu tuliskan ini?"
"Gabenor kami."
"Benarkah gabenor kalian miskin?" Khalifah Umar kehairanan.
"Benar, wahai amirulmukminin! Demi Allah, di rumahnya jarang dinyalakan api," jawab mereka meyakinkan khalifah.
Mendengarkan jawapan itu, Khalifah Umar menangis sehingga air mata membasahi janggutnya. Kemudian beliau mengambil sebuah karung berisi wang seribu dinar.
"Kalian pulanglah ke Hims. Sampaikan salam kepada Sa'id bin 'Amir. Wang ini saya kirimkan untuk beliau bagi meringankan kesusahannya."
Apabila Sa'id menerima karung berisi wang tersebut, beliau meletakkan ia agak jauh dari dirinya sambil mengucapkan:
"Inna lillah wa inna ilaihi raji'un."
Kemudian beiau mengambil semula karung berisi wang itu lalu meminta isterinya mengagihkannya kepada fakir miskin. Selang beberapa tempoh, Khalifah Umar berkunjung ke Syria untuk memeriksa pemerintahan perwakilan di sana.
Dalam kunjungan itu, beliau singgah di Hims. Rakyat Hims berkumpul untuk meraikan kedatangan khalifah.
Khalifah Umar bertanya kepada rakyat jelata: "Ada sebarang aduan berkenaan gabenor kamu?"
Seorang jurucakap yang mewakili penduduk Hims berkata: "Gabenor kami sering tiba di tempat kerja setelah matahari tinggi di atas kepala."
Sa'id bin 'Amir al-Jumahi menjawab aduan itu: "Keluarga saya tidak memiliki pembantu. Setiap pagi saya membuat adunan roti. Sesudah siap barulah saya membakar roti untuk hidangan keluarga. Kemudian saya berwuduk. Setelah siap barulah saya ke tempat kerja untuk menguruskan masyarakat."
"Gabenor tidak bersedia melayan kami pada malam hari," jurucakap meneruskan aduan.
"Sa'id memberi penjelasan: "Saya telah membahagikan waktu saya. Siang hari untuk menguruskan kepentingan masyarakat, malam hari untuk mendekatkan diri kepada Allah."
"Gabenor tidak masuk bekerja sehari penuh dalam sebulan." Aduan ketiga dikemukakan.
"Saya hanya memiliki sepasang baju. Saya hanya mencucinya sekali sebulan. Saya menunggu sehingga baju itu kering, kemudian barulah saya dapat ke pejabat mentadbir urusan masyarakat," Sa'id menjawab jujur.
Sekembali ke Madinah, Khalifah Umar mengirimkan seribu dinar untuk Sa'id bagi memenuhi keperluan hariannya.
Kali ini isteri Sa'id memberikan cadangan: "Segala puji bagi Allah yang mencukupkan rezeki kita berkat keikhlasan kamu. Saya ingin menggunakan wang ini untuk membeli keperluan rumah dan menggaji seorang pembantu untuk kita."
Namun Sa'id memberikan cadangan yang lebih bernas:
"Kita berikan wang ini kepada rakyat yang memerlukannya. Itulah yang lebih baik bagi kita."
"Mengapa?" Isterinya kehairanan.
"Menderma bererti kita mendepositkan wang kepada Allah. Itulah cara yang lebih baik!" Sa'id mengemukakan hujahnya.
Akhirnya Sa'id memasukkan wang itu ke dalam beberapa karung kecil, kemudian memberikan arahan kepada salah seorang ahli keluarganya:
"Berikan karung ini kepada janda si fulan. Ini pula kepada anak yatim si fulan. Karung ini pula si fulan yang miskin."
Sa'id membeli akhirat dengan dunia dan mengutamakan keredaan Allah dan Rasul melebihi segala-galanya. Semoga Allah melimpahkan kurniaan-Nya kepada Sa'id bin 'Amir al-Jumahi.
amin!
p/s : moral of the story?
Dunia merupakan tempat untuk kita memperbanyakkan amalan sebagai bekalan sebelum kita dijemput olehNYA. Tak usah terlalu mementingkan harta dunia kerana ia bersifat sementara.
ReplyDeletesusah nak jumpa manusia yang berfikiran macam tu, kebanyakannya lebih mementingkan harta dunia.
Delete