Tuesday, July 23, 2013

DIA Maha Mengetahui.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

*****

gambar pinjam buat harta

"Jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang telah Allah tetapkan untuk kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya"

     Seorang lelaki tersadai di sebuah pulau. Dia merupakan satu-satunya mangsa kapal karam yang terselamat dan masih hidup. Apabila menyedari bahawa hanya dia seorang yang berada di pulau kecil dan terpencil itu, setiap hari dia berdoa kepada Allah supaya menyelamatkannya.

     Beliau juga tidak putus-putus meninjau laut yang terbentang luas dengan harapan akan ada kapal yang lalu dan dapat menyelamatkannya. Namun segalanya hanya tinggal harapan. Akhirnya lelaki itu membina sebuah pondok kecil di tepi pantai sebagai tempat berteduh daripada terik mentari di siang hari dan berlindung daripada dingin bayu malam.

     Satu hari, lelaki itu meredah hutan untuk mencari makanan buat mengalas perut yang meminta di isi. Sebaik pulang, dia mendapati pondoknya hangus terbakar, tiada apa yang tinggal kecuali abu hitam dan asap yang berkepul-kepul naik ke langit. Lelaki itu terduduk. Merenung nasibnya yang malang, dia mula mempersoalkan takdir malang yang menimpa dirinya.

"Kenapalah nasib aku begitu malang sekali? Kenapalah Allah menguji aku sebegini rupa? Kenapa aku?"

     Petang itu, sedang dia berehat di bawah sepohon pokok, dia ternampak sebuah kapal dari jauh seolah-olah menuju ke arah pulau itu. Dengan semua kudrat yang ada, dia mula menjerit sambil melambai-lambaikan tangan dengan harapan pengemudi kapal tersebut akan menyedari kehadirannya di pulau itu. Dan jelas sekali bahawa kapal itu memang menuju ke arah pulau tersebut.

     Akhirnya lelaki itu diselamatkan dan dibawa menaiki kapal dan diberi makanan dan minuman. Dia berasa hairan bagaimana kapten kapal tahu bahawa ada penghuni di pulau itu.

Dia bertanya kepada kapten kapal: "Bagaimana tuan tahu ada orang tersadai di pulau itu?"
Kapten kapal lalu menjawab: "Kami ternampak asap dari pulau ini. Sebab itu kami menukar haluan ke sini kerana mungkin ada orang yang memerlukan bantuan."

Lelaki itu mula terfikir tentang sungutannya terhadap apa yang berlaku ke atas dirinya. Boleh jadi sesuatu yang kita pandang sebagai musibah hari ini merupakan sesuatu yang memberi keuntungan di kemudian hari.



-angguk geleng solusi #32-




p/s : situasi yang selalu berlaku. Na'uzubillahiminzalik.

No comments:

Post a Comment