Sunday, January 25, 2015

JANGAN LUPA "LIKE" TAU!!!

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

JANGAN LUPA KLIK "LIKE" TAU!!!!!

ini boleh mendatangkan kemarahan!!! T,T

Sila "LIKE" untuk terus membaca. Ini adalah pop-up yang paling aku menyampah bila buka page atau website. Selalunya pop-up ni keluar bila klik link yang ada dalam media sosial, macam muka buku. Kalau "like" yang di minta tu untuk page yang berfaedah takpe la juga. Ini kekadang tu bila dah "like" rupa-rupanya page ahli mesyuarat tingkap yang di "like". Kalau ada X di penjuru kanan pop-up tu memang aku klik X tu je. Tapi kalau takde X kat pop-up, aku klik X kat penjuru kanan "tab" je la. Minta maaf bebanyak la ye. Kalau kamu klik link blog ni dan ada keluar pop-up yang karut marut tu, jangan segan-segan untuk klik X ya. Biar la tak dapat trafik, daripada dapat sumpah seranah orang.

Sekian melaporkan.


p/s: tak boleh tidur. nak 'membaca', bila klik link ada pop-up. Terima kasih!

Saturday, January 17, 2015

Kenapa dengan surah Al-Kautsar?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bismillahirrahmanirrahim.

The great truth of God. (Translation)

Surah Al-Kautsar adalah surah yang paling pendek dalam Al Quran. Hanya mengandungi 3 (tiga) ayat. Diturunkan di Makkah. Berasal dari sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat dari batu permata yang indah dan cantik. Rasanya lebih manis dari madu. Warnanya pula lebih putih dari susu dan lebih wangi dari kasturi.

Surah Al-Kautsar disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w kerana diturunkan ketika Baginda sedang bersedih di atas kematian 2 (dua) insan yang dikasihi, iaitu anak lelaki Baginda, Ibrahim dan bapa saudara Baginda, Abu Thalib. 

Surah Al-Kautsar dikhabarkan mengandungi pelbagai kelebihan yang boleh kita amalkan, antaranya ialah;

1) Ketika hujan, bacalah surah ini dan berdo'a. Insya Allah do'a kita akan dikabulkan oleh Allah SWT.

2) Ketika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher. Insya Allah hilang rasa dahaga.

3) Ketika kita sering sakit mata seperti berair, gatal, bengkak. Sapukan air tawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10 kali pada mata.

4) Ketika rumah dipercayai terkena sihir, bacalah surah ini. Insya Allah, Allah akan memberi ilham kepada kita di mana letaknya sihir itu.

5) Jika kita membaca surah ini 1000 kali, insya Allah rezeki kita akan bertambah.

6) Jika kita rajin membaca surah ini, insya Allah hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat. 

7) Jika ada orang teraniaya dan terpenjara, bacalah surah ini sebanyak 71 kali. Insya Allah, Allah SWT akan memberikan bantuan kepadanya jika dia tidak bersalah dan di zalimi.

Rasulallah S.A.W bersabda: "Barangsiapa yang menyampaikan 1 (satu) ilmu sahaja dan ada orang yang mengamalkannya, maka walaupun orang yang menyampaikan sudah tiada (meninggal dunia), dia akan tetap memperoleh pahala." (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Subhanallah.


p/s: seluruh isi Al Quran mempunyai kelebihan dan mampu memberikan jawapan kepada setiap persoalan. Baca, hayati, fahami dan amalkan. Insya Allah.

-


Monday, January 12, 2015

bash orang? best giler!

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.


pung pang pung pang, bla bla bla.....

Memang best giler kalau dapat bash orang kan? Seronoknya lain macam! Nak pula kalau bash di alam maya. Orang yang kena bash pula jelas mukanya. Orang tu nak balas balik tak boleh. Kalau depan-depan memang bertumbuk rasannya. Tapi dalam duk seronok bash orang tu,kena ingat juga ada makhluk lain yang tumpang seronok. Makhluk tu dah dapat lesen besar daripada Yang Maha Esa untuk memporak-perandakan nilai iman, nilai kemanusian yang ada dalam diri manusia. Makhluk tu dah dapat lesen besar untuk menarik dan menggoda manusia yang lemah untuk dijadikan teman di hari pembalasan nanti. Kamu nak jadi teman dia ke?

Pasal awek yang dipeluk, memeluk, dicium, mencium atau apa saja lah yang kamu nak cakap tu, memang dia dah buat silap. Silap sebab tak mampu kawal nafsu nak jumpa artis tu. Silap sebab tak cakap tak boleh masa artis tu nak peluk cium dia. Silap sebab tak tegas dengan pendirian iman dia. Tapi jika disebabkan bash yang dia kena tu dia semakin jauh dari jalan yang benar? Kamu la yang salah! Nak ke kamu, ke hulu ke hilir di padang mahsyar nanti, cari awek tu sebab nak minta maaf kat dia? Hmm...

Apa pun kita memang ada tanggungjawab untuk menyedarkan awek tu dari terus melakukan kesilapan. Cuma buat la dengan adab dan sabar, bukan menghukum. Ibarat titisan air yang menitis di atas bongkah batu yang keras. Lama-lama berlubang juga batu tu. Tapi mak bapa awek tu kena ingat la..

Riwayat Muslim

Cuma satu perkara yang kita kena ingat. Iman bukan warisan. Walaupun mak bapa dah bagi didikan agama yang sepatutnya, pilihan tetap terletak di tangan anak. Jadi kalau nak iman yang kuat, kita kena usaha sendiri. Berpandukan rujukan dan contoh idola terhebat kita, iaitu Al Quran, hadis dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

p/s: muhasabah diri.

-




Saturday, January 10, 2015

Nak tanya sikit boleh?

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ada kemusykilan sikit lah!.

Semenjak dua menjak ni orang ramai duk kecoh pasal harga barang yang tak juga turun walaupun harga minyak (yang selalu dijadikan alasan kenaikan harga) sudah diturunkan. Alasan yang diberikan selalunya "ini stok lama ma so kena ikut harga lama lah". Entahlah, apa lagi yang boleh dikatakan. Aku berniaga juga. Harga barang yang aku jual berpandukan harga yang aku beli. Jadi kalau harga yang aku dapat tu murah, maka murahlah harga jualan aku. Begitu juga sebaliknya. Tapi memang tak dapat dinafikan ada sesetengah peniaga yang jenis tembolok elastik. Makan banyak mana pun dia tetap rasa lapar. Nak juga makan lagi walaupun tau sudah melebihi had.

Apa yang aku nak tanya sekarang ni ialah, kenaikan tarif elektrik dan air dalam negara ni ada kaitan dengan harga minyak tak? Jika berpandukan apa yang aku baca di sini, kenaikan tarif elektrik ada kaitan dengan harga gas dan arang batu diperingkat antarabangsa. Jadi sekarang harga minyak dah turun, harga arang batu dah turun, tarif elektrik boleh diturunkan tak? Syarikat yang membekalkan tenaga elektrik ni pun berniagakan? Kesan kenaikan tarif elektrik ni memberi impak kepada seluruh masyarakatkan? Kes kenaikan harga barang hanya memberi kesan kepada sesetengah individu kerana tidak semua peniaga bersikap tamak dan menaikkan harga barang jualan sesuka hati. Jadi, fikirlah sendiri.

Hmm, itu saja pertanyaan aku. Sikit je kan? o_O

-



Saturday, January 3, 2015

Api atau lilin?

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Hidup perlukan pengorbanan, ibarat lilin
yang membakar diri demi memberi
cahaya kepada insan lain.
 Api dan lilin. Dua benda yang amat diperlukan jika bekalan elektrik di rumah terputus. Lilin tanpa api, hanya sebatang lilin tanpa memberi apa-apa faedah. Api tanpa lilin? Hmm..mungkin masih ada gunanya kerana jika api bertemu dengan apa-apa objek selain air, ia tetap mampu memberi cahaya. Namun perlu berhati-hati jika berurusan dengan api. Ibarat kata orang, api ketika kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan.

Jika diberikan pilihan di antara api dan lilin, yang mana akan menjadi pilihan? Adakah lilin yang menjadi pilihan? Mengorbankan diri menjadi santapan api, demi memberi cahaya kepada insan lain? Besar pengorbanan tu. Sedangkan pengorbanan tu kadang-kadang hanya di pandang sepi oleh insan lain. Namun jika pengorbanan itu ikhlas dilakukan kerana Allah, tiada apa yang perlu dirisaukan. Biarlah pengorbanan di pandang sepi, kerana setiap perkara yang dilakukan demi redha dan rahmat-Nya, pasti ada ganjaran yang menanti.

Ada yang memilih api? Hmm..perlu di ingat, asal kejadian iblis ialah api. Allah menciptakan iblis daripada api. Iblis amat sombong kerana diciptakan daripada api. Iblis ingkar arahan Allah supaya sujud (hormat) kepada Nabi Adam kerana merasakan diri lebih mulia daripada Nabi Adam yang diciptakan daripada tanah. Api sifatnya adalah pemusnah. Membakar dan memusnahkan apa sahaja yang berada di laluannya. Api juga digunakan untuk 'membakar' hamba-hamba Allah yang mengingkari suruhan-Nya di akhirat kelak.

Ramai manusia yang hidupnya ibarat lilin. Mengorbankan diri demi memberi cahaya kepada insan lain. Jika tiada ikhlas dan kesabaran yang tinggi, dikhuatiri lilin bertukar menjadi api. Daripada menjadi korban bertukar menjadi pengorban. Mungkin setelah itu, merasa diri hebat kerana berhasil mengorbankan insan lain demi kepentingan diri. Tapi perlu di ingat, ketika itu bergembiralah si iblis kerana berjaya menambah teman untuk bersama-sama menjadi penghuni neraka. Iblis tidak rugi, bahkan manusia sendiri yang rugi. Biarlah hidup ibarat lilin, memberi cahaya dan kegembiraan kepada insan lain. Tidak mengapa jika pengorbanan tidak di hargai. Biarlah. Daripada menjadi api yang sifatnya memusnah. Banyak air mata yang mengalir hasil dari kerakusan api yang menghasilkan kemusnahan.

Namun memang tidak dapat dinafikan, api dan lilin tetap saling diperlukan. Di waktu malam, ketika langit gelap gelita tanpa cahaya bulan dan bintang, api dan lilin amat diperlukan untuk menghasilkan cahaya. Tanpa cahaya daripada hasil gabungan keduanya, agak sukar untuk melangkahkan kaki di dalam kegelapan. Namun tidak perlu mendabik dada, mendakwa yang mana lebih mulia. Kerana kedua-duanya mempunyai fungsinya yang tersendiri.

-

Benarkah kasih?

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.


tepuk dada tanya iman. 
Benarkah kasih? Benarkah sayang? Benarkah cinta? Apa bukti kasih? Apa bukti sayang? Apa bukti cinta? Jujur (الصدق). Amanah (الامانه). Menyampaikan (التبليغ). Tajam fikiran (الفطنة). Ini adalah empat sifat Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. Adakah empat sifat ini ada dalam diri kita? Tidak mungkin akan sama seperti Baginda, tapi empat sifat tu memang perlu ada dalam diri kita kan?

Berlaku jujur dalam setiap perkara. Menggalas dan melaksanakan amanah yang di beri dengan penuh rasa tanggungjawab. Menyampaikan perkara yang baik sesama manusia. Menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Berfikiran tajam atau menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah dengan sebaik mungkin. Ke arah kebaikan semestinya. Mengharap redha dan rahmat Allah. Ini bukti kasih kepada Baginda Nabi. Ini bukti sayang kepada Baginda Nabi. Ini bukti cinta kepada Baginda Nabi.

Hidup kita berpaksikan ajaran yang disampaikan oleh Baginda Nabi, berpandukan wahyu daripada Allah (Al-Quran) yang disampaikan melalui perantaraan malaikat Jibril dan juga sunnah Nabi. Nabi menyuruh kita bersolat. Adakah kita melaksanakannya? Nabi melarang kita memakan riba. Adakah kita benar-benar melaksanakannya dalam kehidupan? Nabi menyuruh kita menutup aurat. Adakah kita benar-benar melaksanakannya? Nabi sentiasa berlaku adil dalam setiap perkara. Adakah kita benar-benar berlaku adil dalam setiap perkara? Banyak lagi perbuatan dan perkara yang Nabi lakukan, amalkan dan sepatutnya kita ikuti, tapi adakah kita ambil perhatian akan semuanya? Tepuk dada, tanyalah iman.

Persoalan yang aku sendiri perlu renungkan. Persoalan yang aku sendiri perlu fikirkan. Persoalan yang aku sendiri perlu serapkan dalam diri. Persoalan yang sepatutnya aku sendiri perlu amalkan dalam kehidupan. Semoga kita benar-benar menjadi umat Baginda Nabi. Semoga kita layak untuk mendapat syafaat daripada Baginda di hari pengadilan kelak. Kasih, sayang dan cinta jangan hanya di bibir. Ia perlu hadir dari hati. Maka ia akan mekar bersemi.

Renungkan bersama.

pic source
-

Friday, January 2, 2015

Pandang belakang.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Semoga dikurniakan kekuatan, kesungguhan, kesabaran dan
tetap terus istiqomah dalam segala urusan dunia juga akhirat.
Adakalanya kita perlu memandang ke belakang, kan? Mengenang apa yang telah terjadi sepanjang masa yang lalu. Bukan untuk bersedih tetapi untuk menjadi lebih baik di masa hadapan. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Yang baik dijadikan pedoman, yang buruk dijadikan sempadan.

2014 sudah menjadi sejarah. Sejarah yang sepatutnya banyak mengajar kita untuk menjadi seorang manusia dan hamba yang sebenar-benarnya. Tapi itu semua hanya akan berlaku bagi manusia yang celik mata hatinya. Bagi yang rabun mata hatinya, perlu cepat-cepat buat pemeriksaan. Takut tengah berjalan terperosok ke dalam lubang yang dipenuhi bara api. Bukan hanya kamu, aku juga perlu.

Macam-macam hal yang berlaku sepanjang 2014. Yang berkaitan dengan diri aku? Hmm, rasanya tak ada beza macam tahun-tahun yang sudah. Cuma aku harap, setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu, setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap detik aku akan berubah ke arah menjadi insan yang lebih baik. Bukan yang sebaliknya. Doakan yang terbaik.

Perkara besar yang berlaku? Hmm, pesawat MAS MH370 hilang tanpa dapat di kesan sampai sekarang. Pelbagai teori tercipta. Hakikatnya hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Ahli keluarga yang terlibat menunggu khabar berita tanpa jemu. Sudah berapa bulan? Kemudian pesawat MAS MH17 pula ditembak jatuh ketika melalui ruang udara Ukraine-Rusia. Hancur berkecai segalanya. Banyak nyawa yang melayang. Siasatan masih dijalankan untuk menentukan pihak mana yang bertanggungjawab ke atas insiden malang itu. Ahli keluarga yang terlibat terus menunggu sehingga keputusan muktamad dikeluarkan. Semoga pihak yang bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan.

Hampir dipenghujung tahun, banjir besar melanda pantai timur semenanjung. Dikhabarkan ia banjir terbesar dan terburuk yang pernah terjadi dalam sejarah. Benarkah? Kelantan, Terengganu dan Pahang, negeri yang wajib dilanda banjir setiap kali monsun timur laut melanda negara. Seolah-olah tiada perubahan. Malah jika di lihat angka mangsa yang terlibat, jumlahnya semakin besar. Hampir suku juta manusia terjejas kehidupannya. Hmm, peringatan daripada Allah kepada sekalian hamba-Nya. Jangan terlalu rakus mengejar dunia sehingga terlupa tanggungjawab sebenar sebagai seorang khalifah. Tapi tetap ada yang keras hatinya. Musibah melanda tapi hati tetap sama. Malah ada yang semakin keras hatinya, mempersoalkan kekuasaan Yang Maha Berkuasa. Na'uzubillah.

Panjang bicara, khuatir banyak pula silapnya. Selamat tinggal 2014. Selamat datang 2015. Semoga diberikan kekuatan, kesungguhan, kesabaran dan istiqomah dalam segala urusan. Dunia dan akhirat.

-