Semoga dikurniakan kekuatan, kesungguhan, kesabaran dan tetap terus istiqomah dalam segala urusan dunia juga akhirat. |
2014 sudah menjadi sejarah. Sejarah yang sepatutnya banyak mengajar kita untuk menjadi seorang manusia dan hamba yang sebenar-benarnya. Tapi itu semua hanya akan berlaku bagi manusia yang celik mata hatinya. Bagi yang rabun mata hatinya, perlu cepat-cepat buat pemeriksaan. Takut tengah berjalan terperosok ke dalam lubang yang dipenuhi bara api. Bukan hanya kamu, aku juga perlu.
Macam-macam hal yang berlaku sepanjang 2014. Yang berkaitan dengan diri aku? Hmm, rasanya tak ada beza macam tahun-tahun yang sudah. Cuma aku harap, setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu, setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap detik aku akan berubah ke arah menjadi insan yang lebih baik. Bukan yang sebaliknya. Doakan yang terbaik.
Perkara besar yang berlaku? Hmm, pesawat MAS MH370 hilang tanpa dapat di kesan sampai sekarang. Pelbagai teori tercipta. Hakikatnya hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Ahli keluarga yang terlibat menunggu khabar berita tanpa jemu. Sudah berapa bulan? Kemudian pesawat MAS MH17 pula ditembak jatuh ketika melalui ruang udara Ukraine-Rusia. Hancur berkecai segalanya. Banyak nyawa yang melayang. Siasatan masih dijalankan untuk menentukan pihak mana yang bertanggungjawab ke atas insiden malang itu. Ahli keluarga yang terlibat terus menunggu sehingga keputusan muktamad dikeluarkan. Semoga pihak yang bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan.
Hampir dipenghujung tahun, banjir besar melanda pantai timur semenanjung. Dikhabarkan ia banjir terbesar dan terburuk yang pernah terjadi dalam sejarah. Benarkah? Kelantan, Terengganu dan Pahang, negeri yang wajib dilanda banjir setiap kali monsun timur laut melanda negara. Seolah-olah tiada perubahan. Malah jika di lihat angka mangsa yang terlibat, jumlahnya semakin besar. Hampir suku juta manusia terjejas kehidupannya. Hmm, peringatan daripada Allah kepada sekalian hamba-Nya. Jangan terlalu rakus mengejar dunia sehingga terlupa tanggungjawab sebenar sebagai seorang khalifah. Tapi tetap ada yang keras hatinya. Musibah melanda tapi hati tetap sama. Malah ada yang semakin keras hatinya, mempersoalkan kekuasaan Yang Maha Berkuasa. Na'uzubillah.
Panjang bicara, khuatir banyak pula silapnya. Selamat tinggal 2014. Selamat datang 2015. Semoga diberikan kekuatan, kesungguhan, kesabaran dan istiqomah dalam segala urusan. Dunia dan akhirat.
-
No comments:
Post a Comment