Saturday, January 3, 2015

Api atau lilin?

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Hidup perlukan pengorbanan, ibarat lilin
yang membakar diri demi memberi
cahaya kepada insan lain.
 Api dan lilin. Dua benda yang amat diperlukan jika bekalan elektrik di rumah terputus. Lilin tanpa api, hanya sebatang lilin tanpa memberi apa-apa faedah. Api tanpa lilin? Hmm..mungkin masih ada gunanya kerana jika api bertemu dengan apa-apa objek selain air, ia tetap mampu memberi cahaya. Namun perlu berhati-hati jika berurusan dengan api. Ibarat kata orang, api ketika kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan.

Jika diberikan pilihan di antara api dan lilin, yang mana akan menjadi pilihan? Adakah lilin yang menjadi pilihan? Mengorbankan diri menjadi santapan api, demi memberi cahaya kepada insan lain? Besar pengorbanan tu. Sedangkan pengorbanan tu kadang-kadang hanya di pandang sepi oleh insan lain. Namun jika pengorbanan itu ikhlas dilakukan kerana Allah, tiada apa yang perlu dirisaukan. Biarlah pengorbanan di pandang sepi, kerana setiap perkara yang dilakukan demi redha dan rahmat-Nya, pasti ada ganjaran yang menanti.

Ada yang memilih api? Hmm..perlu di ingat, asal kejadian iblis ialah api. Allah menciptakan iblis daripada api. Iblis amat sombong kerana diciptakan daripada api. Iblis ingkar arahan Allah supaya sujud (hormat) kepada Nabi Adam kerana merasakan diri lebih mulia daripada Nabi Adam yang diciptakan daripada tanah. Api sifatnya adalah pemusnah. Membakar dan memusnahkan apa sahaja yang berada di laluannya. Api juga digunakan untuk 'membakar' hamba-hamba Allah yang mengingkari suruhan-Nya di akhirat kelak.

Ramai manusia yang hidupnya ibarat lilin. Mengorbankan diri demi memberi cahaya kepada insan lain. Jika tiada ikhlas dan kesabaran yang tinggi, dikhuatiri lilin bertukar menjadi api. Daripada menjadi korban bertukar menjadi pengorban. Mungkin setelah itu, merasa diri hebat kerana berhasil mengorbankan insan lain demi kepentingan diri. Tapi perlu di ingat, ketika itu bergembiralah si iblis kerana berjaya menambah teman untuk bersama-sama menjadi penghuni neraka. Iblis tidak rugi, bahkan manusia sendiri yang rugi. Biarlah hidup ibarat lilin, memberi cahaya dan kegembiraan kepada insan lain. Tidak mengapa jika pengorbanan tidak di hargai. Biarlah. Daripada menjadi api yang sifatnya memusnah. Banyak air mata yang mengalir hasil dari kerakusan api yang menghasilkan kemusnahan.

Namun memang tidak dapat dinafikan, api dan lilin tetap saling diperlukan. Di waktu malam, ketika langit gelap gelita tanpa cahaya bulan dan bintang, api dan lilin amat diperlukan untuk menghasilkan cahaya. Tanpa cahaya daripada hasil gabungan keduanya, agak sukar untuk melangkahkan kaki di dalam kegelapan. Namun tidak perlu mendabik dada, mendakwa yang mana lebih mulia. Kerana kedua-duanya mempunyai fungsinya yang tersendiri.

-

2 comments:

  1. follow balik http://cikanggur10.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. oh ada permintaan. ok nanti saya follow

      Delete