Jangan menyesal!
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tersebut al-kisah Iskandar Zulkarnain dan tenteranya terpaksa mengharungi terowong yang panjang dan gelap. Tiada api dan cahaya. Di tengah perjalanan, mereka terpijak batu-batu yang begitu banyak bertaburan. Ada yang berkata, terowong ini kaya dengan emas dan berlian. Apa lagi! Ada orang yang mula mengutip batu-batu tersebut hingga penuh tangan. Ada yang menggunakan baju untuk dijadikan pemegang batu-batu. Ada juga yang tidak percaya dan tidak mengutip apa-apa.
Setelah sekian lama berjalan dalam gelap, ada diantara mereka merasa letih lalu melepaskan batu-batu yang mereka bawa. Akhirnya mereka mula nampak dihujung terowong. Dalam samar-samar mereka telah lihat, batu-batu yang mereka bawa adalah benar-benar emas dan berlian. Ada yang meminta kebenaran dari Iskandar untuk berpatah-balik ke tengah terowong, tapi tidak dibenarkan.
Bila mereka keluar dari terowong, maka penyesalan yang amat hebat dirasakan oleh tentera-tentera Iskandar Zulkarnain. Semua menyesal. Tidak ada yang tidak menyesal.
- Paling menyesal ialah yang langsung tidak percaya. Tiada langsung emas dan berlian yang di bawa walaupun mempunyai peluang.
- Yang bawa sedikit juga menyesal. "Kenapalah aku bawa penuh tangan saja? Aku sepatutnya gunakan baju, kain dan sebagainya untuk angkut emas dan berlian."
- Yang bawa penuh baju juga menyesal. "Sepatutnya aku pinjam kain dari orang lain. Aku patut guna mulut untuk angkut emas dan berlian."
- Yang paling menyesal. Yang pada mulanya percaya, tetapi melepaskan batu-batu di separuh-jalan kerana tidak yakin, kerana letih dan malas.
Begitulah gambaran penyesalan kita bila sampai ke alam akhirat. Semua menyesal. Tiada yang terkecuali. Ketika sakaraatul maut, kita akan dinampakkan gambaran di mana nasib kita di akhirat. Ketika itu roh kita meronta-ronta tidak mahu meninggalkan dunia jikalau gambaran yang tidak baik ditunjukkan. Seperti mereka yang meronta-ronta untuk balik ke tengah terowong dan meminta kebenaran untuk balik semula. Tetapi apabila roh sudah sampai ke penghujungnya untuk mendiami jasad, semuanya sudah terlambat.
Bila sampai di akhirat, semua orang akan menyesal. Yang soleh dan solehah menyesal kerana masa yang berlalu tidak dimanfaatkan untuk meningkatkan amal ibadat agar mendapat darjat yang lebih tinggi. Yang sekejap soleh, sekejap menentang Allah, menyesal tak sudah. Ada amalan, tapi sedikit. Dosa yang menimbun.
Orang-orang kafirlah yang paling menyesal. Terutamanya mereka yang sudah 'sampai seru', faham tentang Islam tetapi memilih untuk tidak beriman kerana ego, pangkat dan harta dan sebagsinya. Orang yang asalnya Islam tetapi memilih untuk meninggalkan agamanya, menyesal tak sudah. Seperti mereka yang mulanya percaya lalu mengutip batu-batu tetapi melepaskan batu-batu dipertengahan jalan kerana tidak yakin, penat, malas dan sebagainya. Di akhirat nanti merekalah orang yang paling menyesal.
Itulah gambaran penyesalan di akhirat kelak. Diceritakan penyesalan mereka dalam Surah as-Sajadah, ayat 12. Ahli neraka merayu kepada Allah. "Wahai Tuhanku, sesungguhnya kami telah lihat dan dengar kedahsyatan akhirat, kembalikanlah kami ke dunia untuk beramal soleh. Sesungguhnya kami telah benar-benar yakin."
Wallahua'lam.
p/s : sesal dahulu pendapatan...
mudah mudahan tidak tergolong dalam golongan yang paling menyesal :(
ReplyDelete